Jenama sukan tempatan yang kian meningkat naik, Kaki Jersi terus melangkah dengan lebih maju menerusi satu perjanjian yang dibuat bersama pasukan Siem Reap United FC (SRU FC).

Kerjasama yang dipelopori oleh Bolabros selaku penganjur itu merupakan satu perkara yang penting bagi Siem Reap FC dalam memberikan fokus kepada tugas pembangunan pemain-pemain muda di Siem Reap dan dengan kehadiran Kaki Jersi pastinya akan banyak membantu pasukan yang memiliki padang bola sepak yang terbaik di Kemboja.

Kaki Jersi akan menyediakan kelengkapan untuk pasukan akademi serta pasukan senior Siem Reap United FC termasuklah jersi, bib, seluar, stokin dan sebagainya serta menjadi penaja untuk kejohanan atau acara yang akan dianjurkan oleh Bolabros di SRU Stadium nanti.

photo_2020-01-04_18-17-37
Stadium SRU FC yang menggunakan rumput asli merupakan padang bola sepak yang terbaik di Siem Reap ketika ini.

Ketika ini pihak SRU Stadium secara agresif sedang membangunkan sebuah stadium kecil dengan kapasiti sekitar 5,000 orang serta beberapa buah unit kedai yang akan menjual barangan rasmi pasukan.

Untuk makluman juga, pasukan Siem Reap United FC ketika ini hanya mempunyai 5 buah pasukan diperingkat umur bawah 12 tahun iaitu U8,U9,U10,U11 dan U12. Bilangan pasukan akademi SRU FC akan bertambah lebih banyak lagi apabila pemain-pemain ini lebih dewasa dan seterusnya akan mempunyai pasukan senior dimasa depan.

Kaki Jersi melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan mahu membantu pembangunan pasukan seperti SRU FC ini mencapai sasaran yang telah ditetapkan, dan komitmen mereka cukup jelas apabila bersetuju menandatangani kontrak jangkamasa panjang selama 5 tahun baru-baru ini.

photo_2020-01-04_18-17-24
Bolabros selaku rakan rasmi Kaki Jersi sehingga berjaya memecah masuk ke pasaran Kemboja yang kebanyakannya dimonopoli oleh jenama sukan dari Thailand.

Disebab fasiliti yang bagus serta padang yang terbaik, SRU Stadium bakal menjadi venue kepada 2 pasukan Metfone League ( liga divisyen 1 Kemboja) iaitu Soltilo Angkor – pasukan yang ditaja oleh Kaki Jersi, serta seteru setempat Angkor Tigers FC.

Selain itu, Bolabros yang merupakan pakar kepada penganjuran acara berkaitan bola sepak terutamanya, bakal menjadikan SRU Stadium sebagai venue kejohanan Siem Reap Asian Super Cup 2020 iaitu perlawanan pra-musim yang akan disertai oleh 2 pasukan dari Kemboja – Angkor Tigers FC dan Visakha FC, PJ City FC dari Malaysia serta Bhayangkara FC dari Indonesia.

81128674_1285017655042581_3049451965848223744_o

Dengan komitmen serta kualiti yang ada pada jenama Kaki Jersi, ramai pihak di Kemboja teruja untuk menggunakan jenama tempatan Malaysia ini dan dijangka akan terus mendapat sambutan yang baik dari penyokong bola sepak Kemboja khususnya.

Tahniah untuk Kaki Jersi dan Bolabros, 2 syarikat anak Malaysia yang sedang mencipta nama diluar Asia Tenggara!

Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Asia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

Kaki Jersi Sah Tandatangan Penajaan Jersi Kelab Bola Sepak Milik Honda Keisuke Selama 1 Musim

Bhayangkara FC Bakal Ikuti Turnamen Siem Reap Super Asia Cup 2020 Di Kamboja

PJ City Sah Sertai Siem Reap Super Asia Cup 2020 Di Kemboja